RIYADH – Dunia terpaksa menanggung kos lebih AS$300 bilion (RM1.34 trilion) setiap tahun akibat kemarau, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dalam laporan yang dibentangkan di Riyadh hari ini.
Satu trilion bersamaan dengan 1,000 bilion, manakala 1,000 juta menyamai 1 bilion.
Dipacu ‘kemusnahan alam sekitar oleh manusia’, kemarau dijangka menjejaskan 75 peratus populasi dunia menjelang 2050, demikian menurut amaran dalam laporan tersebut.
Menurutnya, krisis kemarau telah menyebabkan kerugian mencecah AS$307 bilion (RM1.37 trilion) setahun di seluruh dunia.
Amaran itu dikeluarkan sempena sidang 12 hari di Riyadh pada sesi ke-16 Persidangan Semua Pihak(COP16) di bawah Konvensyen PBB bagi Menangani Pergurunan(UNCCD), bertujuan melindungi dan memulihara tanah serta bertindak balas terhadap kemarau ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim.
Bagi menangani krisis kemarau global, PBB mengesa pelaburan dalam ‘penyelesaian berdasarkan alam semula jadi’ seperti penanaman semula hutan, pengurusan efisien padang ragut serta pemulihan dan pemuliharaan kawasan legeh untuk mengurangkan kos menyuburkan tanah kontang di samping dapat memanfaatkan alam sekitar.
Ditandai kemarau dahsyat di Ecuador, Brazil, Namibia, Malawi dan negara-negara berhampiran Mediterranean yang menyaksikan bencana kebakaran serta kekurangan air dan makanan, 2024 berada dalam laluan untuk menjadi tahun paling panas dalam sejarah, kata UNCCD.
“Kos ekonomi akibat kemarau jauh lebih dahsyat berbanding kerugian pertanian. Bencana ini menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan, mengurangkan KDNK, menjejaskan kehidupan manusia dan akhir sekali, membawa kepada kelaparan, pengangguran, penghijrahan dan cabaran keselamatan manusia jangka panjang,” kata penulis bersama laporan PBB tersebut Kaveh Madani. – AFP