PETALING JAYA – Ninja Mart, platform pengedaran B2B (perniagaan ke perniagaan) dan penyelesaian sehenti oleh Ninja Van Malaysia menamatkan kempen Belanja & Menang selepas tempoh tiga bulan pada 30 Jun lalu.
Sebagai titik sentuh antara FMCG (barangan pengguna bergerak pantas) dan rangkaian peruncit bebas serta bersaiz kecil di luar bandar, Ninja Mart menjalankan kempen di seluruh negara buat julung kalinya yang memanfaatkan lebih 30,000 peruncit dari wilayah Utara, Tengah dan Selatan Semenanjung.
Kempen berkenaan menyaksikan rakan jenama iaitu Cricket, Indomie, YokeFood dan Karabao Marketing menawarkan hadiah menarik bernilai sehingga RM60,000 kepada peruncit sepanjang tempoh kempen.
Seperti namanya Belanja & Menang, ia melibatkan gabungan kaedah pemasaran dagangan bulanan dan kaedah peringkat pulangan tunai untuk meningkatkan penglibatan peruncit menerusi kutipan tiket melalui aplikasi Ninja Mart Cashback, yang membolehkan penyertaan dalam peraduan cabutan bertuah secara automatik.
Tidak hanya memanfaatkan peruncit, penaja jenama turut berpeluang mendapatkan keterlihatan yang lebih besar serta jangkauan pasaran lebih luas.
Selain itu, rakan kongsi beroleh manfaat daripada aplikasi Sales Facing yang menyediakan data masa nyata dan cerapan tentang prestasi kedai, sekali gus membolehkan mereka menjejaki arah aliran jualan, membuat keputusan lebih baik dan merancang pelaburan mereka secara strategik untuk memaksimumkan pertumbuhan.
Faedah tidak ketara yang diperoleh pula adalah hubungan erat yang terjalin bersama 200 ahli pasukan jualan semasa lawatan laluan mingguan mereka.
Dari segi pencapaian Ninja Mart, ia berjaya melibatkan lebih 8,000 peruncit, menarik lebih 300,000 penyertaan tiket dan mendaftarkan 6,000 pengguna aplikasi baharu pada aplikasi Ninja Mart di seluruh negara, terutamanya dalam kalangan peruncit luar bandar.
Ketua Negara Ninja Van, Lin Zheng berkata, kempen berkenaan sangat penting kerana ia mengiktiraf kedai yang mempunyai prestasi terbaik.
“Ia turut menyokong usaha untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh antara pasukan setempat, peruncit dan rakan kongsi jenama kami, serta akhirnya menyumbang kembali dan mengiktiraf mereka yang sudah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Ninja Mart, Malaysia & Naib Presiden Operasi di Ninja Van, Matthew Sequerah Lee menambah, pihaknya berbesar hati setelah berjaya melaksanakan beberapa usaha penting dan meraih hasil positif daripada kempen berkenaan.
“Kami berjaya mencapai objektif dan lebih lagi. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan jenama kami atas penajaan mereka,” ujarnya.
Para pemenang diumumkan secara strim langsung di Youtube dan aplikasi Ninja Mart pada Ogos lalu, sebelum majlis penyampaian hadiah dibuat di tiga Lokasi berbeza iaitu di Batu Pahat dan Segamat, Johor pada 11 September dan Machang, Kelantan pada 19 September lalu.
Ia melibatkan penyampaian lebih 30 hadiah menarik disediakan termasuk sebuah Perodua Bezza G (1.0) sebagai hadiah utama, motosikal Yamaha Y15ZR untuk hadiah kedua dan televisyen Samsung Qled 65-inci 4K bagi pemenang tempat ketiga.
Sejak ditubuhkan pada 2022, Ninja Mart memberi sokongan kepada lebih 38,000 cawangan seluruh negara, dikuasakan oleh teknologi logistik Ninja Van.
Platform tersebut menawarkan perkhidmatan pelaksanaan dan penghantaran jarak jauh kepada peruncit bandar serta menyediakan penyelesaian pengedaran sepenuhnya, termasuk jualan van dan pengendalian tunai zon luar bandar.
Maklumat lanjut lanjut mengenai penyelesaian pengedaran inovatif Ninja Mart boleh didapati di www.ninjamart.com. – KOSMO! ONLINE