PUCHONG – Gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing sanggup menyorok di bawah tangga dan berhimpit dalam bilik simpanan minuman bagi mengelak ditahan dalam Ops Gegar di pusat hiburan di sini malam tadi.
Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka cuba bersembunyi di celah dinding pentas dan tandas, namun tindakan mereka berjaya dipatahkan anggota Jabatan Imigresen (JIM) Selangor.
Operasi yang dilaksanakan pada pukul 9 malam turut disertai seramai 29 pegawai diketuai Johari Supardi.
Johari berkata, dalam operasi itu, seramai 66 individu termasuk 10 lelaki asing ditahan.
“Kita menahan 56 GRO Vitenam, lapan lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh. Kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika operasi berkenaan, berlaku provokasi dalam kalangan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan.
“Premis hiburan ini mempunyai tiga tingkat dan bahagian atas terpaksa dipecahkan kerana pihak terlibat tidak memberikan kerjasama ketika operasi dijalankan.
“Pegawai operasi mengambil masa untuk memecahkan pintu kerana ia berlapis,” katanya.
Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE