FESTIVAL of Drum and Percussion Malaysia pada 7 Disember nanti menjanjikan perhimpunan penuh degar warna-warni, membawa pelbagai alat muzik dram, gendang dan perkusi ke arah mencipta keharmonian irama dan bunyi berbilang budaya.
Menerusi festival satu hari tersebut, khalayak akan menyaksikan acara-acara Drums & Percussion Showcase dengan sesi Interaktif – bengkel dan klinik muzik dalam genre, persembahan drumline serta sebuah Gala Konsert All-Star Show yang mengagumkan.
Antara artis dan pemuzik terlibat termasuk, Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Datuk Zainal Abidin, Kamrul Hussin, Lola, XPDC, Pa’ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, Gong, Ujang Exists dan jemputan khas lainnya.
Menurut Aznan Alias yang merupakan gitaris terkenal negara, festival berkenaan perluditonton semua golongan, terutamanya peminat muzik tanah air kerana acara ini menghimpunkan semua pemuzik terkenal negara.
”Saya yakin bahawa highlight untuk festival ini merupakan bengkel dan klinik yang
diadakan di sebelah siang. Ini merupakan peluang terbaik untuk penonton, peminat
muzik dan pelajar mendapatkan infomasi terbaik, bertanya dan berdepan
secara terus, sebuah acara ‘up close & personal and intimate.’
“Festival ini juga memberikan bukan satu tetapi lapan klinik untuk dihadiri dan audiens boleh menimba ilmu dan pengalaman yang banyak di sini, “ujar Aznan yang juga merupakan pengarah muzik buat penyanyi terkenal Datuk M.Nasir.
Manakala Fly Halizor pula menyifatkan bahawa acara ini akan melebarkan
jaringam kepada kelompok yang mahu menjadikan muzik sebagai karier.
“Para pengunjung terutamanya peminat muzik tanah air akan dapat belajar ilmu
muzik dengan pelbagai jenis genre. Malah dapat mempelajari ilmu baru sambil
berhibur dengan konsert yang padat dengan pemuzik dan penyanyi professional
Malaysia,” ujar Fly yang merupakan pemain bass dan juga pensyarah muzik.
Pa’ang Zaman yang merupakan pemain perksusi terkenal Malaysia pula hanya ada dua sebab, mengapa festival berkenaan wajib dikunjungi.
“Sebab ada Ujang Exists dan ada Pa’ang Zaman,” katanya.
Rie Tsuji pula, pemain keyboard dan penyusun muzik menzahirkan rasa
terharunya dapat menjadi sebahagian daripada festival yang julung-julung kali diadakan itu.
“Saya dan beberapa pemuzik akan membawakan lagu Sakura, sebuah lagu
tradisional Jepun. Saya juga menyusun semula lagu Imagine oleh John Lennon.
Bunyinya akan berbeza. Kita juga ada tetamu Istimewa,” ujar Rie.
Manakala Ujang Exists yang merupakan salah seorang ‘most wanted musician in
Malaysia’ menggalakkan semua peminat muzik tanah air untuk melihat
persembahan yang bakal diadakan oleh pemuzik pada malam Gala Konsert All Star Show nanti.
“Hadirlah ke Showcase & Drum Clinics yang akan diadakan di sebelah siang untuk
menimba pelbagai ilmu dan berbagi pengalaman secara ‘live’ dengan pemuzik
Malaysia.
“Pada sebelahnya pula saya dan beberapa pemuzik lain akan bergabung untuk
memberikan persembahan menarik untuk slot persembahan kami. Saksikan sesuatu
yang berlainan dari Ujang & Friends untuk persembahan malam gala itu nanti. Pasti
lain dari yang lain!,” ujar Ujang Exists.
“Objektif utama Festival of Drum and Percussion Malaysia adalah untuk
mempromosikan seni drum dan perkusi, serta menyumbang kepada industri kreatif
Malaysia, selain meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian alat perkusi dan
teknik melalui ceramah, bengkel, dan persembahan.
“Oleh yang demikian, kami selaku penganjur juga menganjurkan Gala Konsert All-Star Show yang merupakan kolaborasi dan gabungan persembahan drum moden, Latin, perkusi etnik dunia dan perkusi tradisional Malaysia, diiringi
Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bersama artis dan pemuzik jemputan,” ujar dari Jin mewakiki JS Music selaku penganjur festival.
Festival yang berlangsung pada 7 Disember 2024 di Dewan Seri Budiman UiTM
Shah Alam, Selangor ini akan bermula dari 10 pagi sehingga 11 malam.
Gala Konsert All-Star Show akan berlangsung pukul 8.45 sehingga 11 malam.
Dua kategori tiket iaitu Festival Pass dan Tiket Konsert dijual kepada pengunjung.
“Pemegang Festival Pass akan dapat menikmati keseluruhan Festival, termasuk
makan malam yang disediakan.
“Tiket konsert pula sesuai untuk sesiapa yang hanya berminat untuk menyaksikan
Gala Konsert sahaja,” ujar Jin. – KOSMO! ONLINE