LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca enggan terlalu memikirkan mengenai takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun skuad kendaliannya berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
Kelmarin, The Blues terus memastikan mereka terus menghuni kelompok tiga teratas selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Aston Villa pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge.
Chelsea memastikan mereka mengutip tiga mata berharga bagi terus mengejar kedudukan pasukan pendahulu, Liverpool yang terus mengukuhkan cengkaman selepas membenam juara bertahan, Manchester City 2-0.
“Secara jujur, kami belum bersedia untuk bersaing dengan pasukan-pasukan seperti Liverpool, Arsenal dan Manchester City. Saya ada sebab tersendiri mengapa saya berkata begitu mengenai peluang Chelsea.
“Hanya kerana kami menang hari ini (kelmarin), tidak bermakna ia akan mengubah pemikiran saya bahawa kami belum bersedia. Apa yang penting sekarang adalah kami terus menunjukkan peningkatan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Chelsea menampilkan aksi cukup dominan menerusi gerakan-gerakan berbahaya, sekali gus menjaringkan tiga gol menerusi Nicolas Jackson, Enzo Fernandez dan Cole Palmer.
“Masih banyak perkara perlu diperbaiki, terutamanya dari segi serangan dan pertahanan. Saya juga berharap pemain-pemain boleh mengutip pengalaman berharga sepanjang perjalanan kami bersama,” ujar Maresca. – AGENSI