MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bertegas belum masanya untuk beliau dan pasukan itu mula berasa selesa biarpun berjaya mencatat kemenangan 4-0 ke atas Everton di Old Trafford, kelmarin.
Walaupun meraih kemenangan besar, Amorim percaya belum ada yang boleh dibanggakan kerana fokus utamanya sekarang adalah memperbaiki prestasi dan bukannya tertumpu kepada keputusan akhir perlawanan.
“Kami sudah melakukan tugas kami untuk memenangi perlawanan, tetapi perjalanan masih lagi jauh. Kami memperoleh jaringan pada masa tepat untuk mengubah permainan.
“Namun, kami tidak boleh terlalu fokus kepada keputusan, kami perlu beri perhatian kepada bagaimana keputusan itu boleh dihasilkan. Fokus kepada prestasi adalah lebih baik untuk kami berbanding keputusan akhir perlawanan,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Marcus Rashford dan Joshua Zirkzee menyerlahkan kualiti hebat apabila masing-masing menyumbangkan dua gol.
Amorim juga menjelaskan jumlah gol tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi anak-anak buahnya dan menganggap Everton berjaya memberikan cabaran kepada The Red Devils.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, cuma kami berjaya menyudahkan peluang yang terhidang. Kami berdepan ‘kesengsaraan’, namun apa yang positif adalah semua pemain berusaha untuk keluar daripada situasi tersebut.
“Saya fikir peminat juga mahukan yang terbaik. Mereka mahu kami beraksi dengan konsisten dan cemerlang, tetapi sedar bahawa pasukan ini perlukan masa. Kemenangan ini memberikan kami kekuatan dan menambah keyakinan,” jelasnya. – AGENSI