fbpx

CIMB perkasa kanak-kanak palsi serebrum melalui kad debit Visa CIMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Effendy; Hannah; dan Presiden serta Pengasas GAPS, Rafidah Rafizah Ahmad pada majlis pelancaran kad debit Visa CIMB hari ini.

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) komited memperkasakan kanak-kanak palsi serebrum menerusi pelancaran kad debit Visa CIMB.

Bagi setiap kad debit Visa CIMB yang dikeluarkan, CIMB akan menyumbang RM2 kepada Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum (GAPS) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperkasakan kanak-kanak palsi serebrum menerusi peralatan rehabilitasi dan program-program pemerkasaan.

Inisiatif pertama kali di Malaysia itu merupakan bukti komitmen CIMB untuk mewujudkan impak positif sosial dengan membantu golongan ini dalam membangunkan keyakinan dan kemandirian dalam diri mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank, Effendy Shahrul Hamid, sumbangan itu akan membolehkan GAPS beroperasi secara mampan dan kekal fokus dalam menyediakan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan menerusi sumbangan yang berterusan.

“Kerjasama ini membuktikan keyakinan kami bahawa perubahan positif bermula di peringkat masyarakat.

“Dengan menyemai budaya keterangkuman, kami bermatlamat untuk menambah baik kehidupan setiap individu dan meningkatkan kebersamaan sosial dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh,” katanya pada majlis pelancaran kad debit berkenaan, yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini, hari ini.

Tambah beliau, kad debit tersebut dihasilkan daripada PVC kitar semula yang diperbuat daripada bahan-bahan pasca industri, sekali gus mengukuhkan usaha CIMB ke arah pemilihan bahan-bahan lebih lestari dalam rekaan produk.

Sementara itu, Hannah Yeoh berkata, beliau berbangga melihat CIMB tampil dengan inisiatif-inisiatif yang menjangkaui perkhidmatan kewangan bagi menghasilkan impak sosial yang ketara bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa.

“Usaha ini dapat menjadi tauladan kepada orang ramai untuk tampil membantu golongan kurang berkemampuan,” ujarnya.

Pada masa sama, CIMB turut memperkenalkan Hub Komuniti di cawangan-cawangan terpilih, meraikan 100 tahun perkhidmatannya kepada masyarakat.

Bank itu turut berhasrat untuk memperkukuhkan libat urus bersama pelanggan dan bekerjasama dengan rakan komuniti tempatan bagi mengenal pasti dan menangani keperluan-keperluan mendesak secara kolektif. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI