BEIJING – Seorang lelaki di utara China diletakkan di bawah tahanan sementara polis kerana menerbitkan waran tangkap palsu untuk dirinya sendiri di media sosial disebabkan berasa bosan, lapor portal berita South China Morning Post kelmarin.
Lelaki bernama Wang itu memuat naik hantaran di media sosial bertajuk ‘Wanted Order’, di samping gambar dirinya pada 11 November lalu.
“Saya berasal dari daerah Qinyuan, bandar Changzhi, wilayah Shanxi. Saya melakukan peras ugut berjumlah 30 juta yuan (RM18 juta) terhadap sebuah syarikat pada 10 November 2024.
“Saya memiliki mesingan dan 500 peluru. Jika anda menemui saya, anda akan diberi ganjaran sebanyak 30,000 yuan (RM18,400),” tulisnya dalam hantaran itu.
Pada 12 November, polis tempatan menyedari hantaran luar biasa itu sebelum pegawai memulakan siasatan dan menangkap Wang beberapa jam kemudian.
Selepas pemeriksaan menyeluruh, polis mengesahkan bahawa Wang tidak memiliki apa-apa barangan haram termasuk pistol atau peluru, seperti yang didakwanya.
Dia juga tidak memeras ugut mana-mana syarikat, kata polis.
Wang mengaku mereka-reka waran tangkap itu kerana dia berasa bosan dengan kehidupannya.
Polis mengenakan ‘langkah paksaan jenayah’ ke atas Wang kerana mencipta dan menyebarkan maklumat palsu.
Ia merujuk kepada tindakan polis yang menyekat kebebasan peribadi suspek termasuk penahanan, penangkapan, jaminan dan kehidupan yang dipantau untuk tempoh tertentu. – AGENSI