GEORGE TOWN – Besar pengorbanan seorang ibu orang kelainan upaya (OKU), Khalijah Said dalam menjaga anaknya, Muhamad Fauzan Ikhwan Mohamed Hussain yang terlantar sejak Januari lalu akibat kemalangan jalan raya.
Khalijah, 61, berkata, dia dan suaminya, Mohamed Hussain Hassan, 59, tidak sesekali berputus dalam melakukan yang terbaik buat anak bongsu daripada empat beradik itu.
Khalijah kudung kaki kanan akibat jangkitan kuman sehingga terpaksa dipotong enam tahun lalu, manakala Muhamad Fauzan, 23, adalah kakitangan kontrak Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan merupakan bekas pemain sepak takraw Pulau Pinang.
“Siapa sangka jadi sebegini, semuanya sudah takdir. Sebelum ini, dia yang menjaga mak cik (selepas kaki dipotong) dan memasak untuk kami tapi hari ini, mak cik yang kini OKU pula jaga dia.
“Dia dapat duduk dan bangun pun sudah cukup. Malah, kami sehingga kini hanya tunggu panggilan mak dan abah daripadanya sahaja. Itu yang membuatkan kami berasa amat lega,” katanya di kediaman mereka di Lebuh Bukit Jambul di sini semalam.
Menurutnya, meskipun doktor tidak memberi tempoh masa untuk dia kembali sihat seperti sediakala, namun keluarga berharap agar segera sembuh.
Ceritanya, Muhamad Fauzan terlibat kemalangan jalan raya akibat ‘microsleep’ ketika menunggang motosikal di Jalan Gottlieb, 12 Januari lalu.
Anaknya itu mengalami kecederaan pada kepala dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dikeluarkan dan disambung semula tiga bulan lalu.
“Dia sudah mula menunjukkan tindak balas positif apabila tangan kiri sudah mampu bergerak dan melakukan isyarat mata apabila kita memanggil namanya,” ujarnya.
Khalijah dan Muhamad Fauzan masing-masing menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan RM500 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya di akaun bank Maybank 107077392711 atas nama Mohamed Hussain Hassan atau hubungi Khalijah di talian 016-489 9697.