BACHOK – Maklumat mengenai gelombang kedua banjir yang akan melanda Pantai Timur pada masa terdekat membuatkan seorang suri rumah yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) enggan pulang lagi ke rumahnya walaupun keadaan semakin pulih.
Suzila Mat Isa, 48, berkata, dia tidak sabar untuk mencuci rumah di Kampung Bukit Marak di sini yang tenggelam sejak Rabu lalu selepas beberapa hari berada di PPS SK Bachok.
Bagaimanapun katanya, dia tidak mampu mengusung ibunya, Tuan Zainab Tuan Soh, 83, buat kali kedua untuk mengharungi air sedalam satu meter jika berlaku gelombang
kedua.
“Saya takut hendak balik jika berlaku hujan berterusan, nanti saya kena pindah lagi ke PPS. kebanyakan mangsa sudah pulang, namun saya bersama ibu dan dua anak masih di sini kerana rumah masih tenggelam.
“Kami akan pulang selepas gelombang kedua kerana bimbang banjir datang lagi,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, di Gua Musang, seramai 12 keluarga mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi masih dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk berpindah jika rumah mereka dilanda banjir sekali lagi.
Mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah kelmarin dari PPS SK Limau Kasturi.
Seorang penduduk, Che Jah Hussin, 73, berkata, hujan berterusan selepas ini akan menyebabkan banjir dan jalan terputus hubungan.
Menurutnya, dia bersama keluarga sudah pulang ke rumah kelmarin untuk mencuci lumpur di bahagian dapur rumahnya.
“Saya tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam dan bimbang hujan lebat. Kami bimbang jika gelombang kedua pula datang,” katanya.