KOTA BHARU – Banjir gelombang pertama di Kelantan semakin pulih apabila seramai 34,200 mangsa sudah pulang ke rumah mereka susulan cuaca semakin baik di kebanyakan kawasan di negeri ini sejak semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, seramai 52,182 orang mangsa daripada 16,692 keluarga masih berlindung di 138 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 11 pagi tadi.
Menurutnya, PPS di tiga daerah iaitu Machang, Jeli dan Gua Musang sudah ditutup sepenuh sejak kelmarin.
“Mangsa di Pasir Mas kekal dengan jumlah tertinggi apabila 28,877 orang yang masih berlindung di 53 buah PPS.
“Jumlah mangsa banjir daerah lain juga mencatatkan penurunan apabila seramai 21,189 mangsa masih terjejas di Tumpat, Bachok (2,321), Kota Bharu (946), Kuala Krai (830), Pasir Puteh (648) dan Tanah Merah (270),” katanya.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang dan di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi tahap bahaya, paras air mulai menurun.
Sungai-sungai utama di Kelantan kembali kepada paras normal. – KOSMO! ONLINE