RAUB – Keadaan banjir di negeri ini pulih sepenuhnya hari ini apabila satu-satunya Pusat Pemindahan Sementara di Lipis yang merupakan PPS terakhir ditutup.
Penutupan PPS berkenaan menjadikan kesemua 1,852 mangsa banjir yang direkodkan hingga hari ini telah pulang ke rumah masing-masing.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, PPS terakhir di Balairaya Kampung Lentang di Lipis ditutup pada pukul 2 petang selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.
“Sebelum ini sebanyak 20 PPS di daerah Raub ditutup sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari, manakala kesemua lima PPS yang dibuka di daerah Jerantut juga ditutup kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Namun begitu APM masih terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa memandangkan kita masih dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL),”katanya di sini hari ini.
Tambahnya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan terus dibuka di pejabat APM untuk tujuan pemantauan. – KOSMO! ONLINE