PENGENDALI Buriram United FC, Osmar Loss sudah mencongak strategi ampuh bagi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Osmar Loss berkata, pasukan tidak boleh pulang dengan tangan kosong sekiranya ingin berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur selepas mengumpul tujuh mata, menyamai mata diperolehi JDT.
Pengendali kelahiran Brazil itu berkata, kemenangan amat penting bagi membolehkan pasukan bangkit setelah merekodkan dua kekalahan berturut-turut kepada kelab daripada Jepun, Kawasaki Frontale (0-3) dan Yokohama F. Marinos (0-5).
“Justeru, pertembungan malam ini amat penting dan kami mengharapkan sesuatu yang berbeza, lagipun ia bukanlah mudah menewaskan JDT di gelanggang sendiri.
“Aksi ini tidak ubah pentingnya seperti perlawanan final setelah kedua-dua pasukan mahu bangkit daripada kekalahan dalam perlawanan terdahulu dan mencari tiga mata berharga sebagai bekalan selesa untuk ke pusingan seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Dion Cools yang juga pemain warisan Harimau Malaya mengingatkan rakan sepasukan supaya lebih berwaspada dengan corak permainan pantas Harimau Selatan sepanjang perlawanan.
“Saya mengenali beberapa pemain mereka, saya kira ia sedikit sebanyak membantu jurulatih (Osmar Loss) untuk lebih berhati-hati, boleh jadi pasukan JDT akan tampil dengan corak permainan berbeza.
“Secara keseluruhan, JDT adalah pasukan yang hebat dan kami harus meningkatkan rentak permainan bagi menyaingi mereka yang terkenal melakukan serangan pantas,” ujarnya.