BALIK PULAU – Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Nigeria daripada menjadi hamba seks oleh pelanggan di pusat-pusat hiburan di sekitar George Town selepas menahan dua pasangan kekasih di Bayan Lepas di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 25 tahun.
Menurutnya, polis bagaimanapun berjaya menahan keempat-empat suspek terdiri seorang wanita tempatan, dua lelaki Nigeria dan seorang wanita negara terbabit di sebuah rumah di Bayan Lepas, kira-kira pukul 10 malam 30 November lalu.
“Siasatan mendapati, mangsa datang ke negara ini melalui seorang ejen iaitu wanita warga Nigeria untuk bekerja sebagai pembantu rumah pada 10 Oktober lalu.
“Namun, mangsa telah diperdaya dengan kegiatan seks apabila dihantar ke pusat-pusat hiburan di sekitar George Town.
“Caj yang dikenakan adalah sekitar RM150 hingga RM500 dan bergantung pada rundingan dengan setiap pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di IPD BD di sini, semalam.
Beritahu Sazalee, mangsa kemudiannya telah bertindak melarikan diri dari sebuah rumah di Bayan Lepas ke kedutaan negara itu di Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis.
Justeru katanya, hasil soal siasat ke atas tiga warga Nigeria terbabit mendapati mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sejak Januari lalu.
“Hubungan keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun itu adalah pasangan kekasih.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE