fbpx

[VIDEO] ‘Kami cuci rumah sambil tahan bau busuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
penduduk Arena Kepayang Putra, Fair Park di Ipoh mencuci kawasan rumah akibat banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Penduduk di Lorong 10, Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini mengakui terpaksa menahan nafas ekoran bau busuk banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam.

Bau busuk yang terpaksa dihidu tersebut dipercayai berasal dari sampah-sarap serta minyak yang dibawa arus banjir kilat di kawasan perumahan tersebut.

Seorang warga emas, Wai Yee Chai, 67, berkata, dia dan keluarganya terpaksa membersihkan rumah sambil berasa loya gara-gara bau busuk air kotor yang membanjiri kawasan perumahannya.

“Bukan mudah mahu membersihkan kekotoran ini. Dengan minyak, sampah dan pasir yang begitu banyak, sekurang-kurangnya lima hari baru selesai membersihkan rumah ini dan saya percaya jiran-jiran di lorong ini pun menghadapi masalah sama.

“Saya dengar kali terakhir jadi banjir kilat teruk ini adalah sebelum kawasan perumahan ini dibangunkan lebih 40 tahun lalu kerana tak pernah lagi jadi masalah seperti ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhammad Noor Azwan, 34, berkata, kawasan perumahan itu kerap dilanda banjir sekurang-kurangnya sekali atau Dua kali sebulan.

Ujarnya, dia dan keluarganya tidak menyangka air memasuki rumahnya dalam kejadian itu kerana banjir yang berlaku di kawasan tersebut biasanya di paras buku lali sahaja.

“Biasanya air naik di jalan-jalan dalam kawasan perumahan ini sahaja dan tak pernah lagi mencecah paras dada. Bagaimanapun, itulah yang berlaku (kelmarin) yang mana ia terjadi secara mengejut.

“Harta benda saya dan keluarga memang habis musnah, antaranya perkakas elektrik seperti televisyen bahkan empat buah motosikal turut musnah. Anggaran kerugian ditanggung kami sekitar RM50,000,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ujarnya, mereka sekeluarga yang keluar bersarapan pada hari kejadian menyedari kehadiran banjir itu sekitar pukul 10 pagi namun kira-kira pukul 12 tengah hari, adik iparnya memaklumkan air telah memasuki rumah dengan paras ketinggian dada orang dewasa ataupun 1.5 meter.

Muhammad Noor berkata, dalam tempoh setengah jam sahaja banjir yang dipercayai berlaku akibat limpahan dari sebatang sungai berdekatan mencecah paras leher lelaki dewasa.

“Tak mustahil banjir kilat seperti ini berlaku lagi. Kalau jadi lagi kami akan selamatkan barang-barang berharga seperti dokumen-dokumen penting,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, A. Subramaniam, 65, berkata, dia yang telah menetap di Arena Kepayang Putra sejak 26 tahun lalu tidak pernah berhadapan dengan situasi sedemikian.

“Saya dan keluarga pada mulanya tak menyangka air akan memasuki rumah kerana biasanya tak berlaku pun situasi sedemikian, namun memang berbeza kali ini.

“Apabila menyedari keadaan akan bertambah lebih buruk sekitar pukul 9 pagi, kami mengambil langkah menyelamatkan harta benda seperti tiga buah kereta. Bagaimanapun, barang-barang lain tak dapat diselamatkan seperti katil, almari dan peti sejuk,” katanya.

Ujarnya, biarpun dia dan 12 ahli keluarganya yang lain selamat, mereka terpaksa menanggung kerugian antara RM25,000 hingga RM30,000 ekoran bencana tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Muhammad Hamzah Md. Hamdan ketika dihubungi berkata, syarikat konsesi yang sepatutnya mengutip sampah pada hari kejadian tidak dapat berbuat demikian, mengakibatkan ia hanyut ke kawasan perumahan terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan punca minyak yang turut hadir bersama banjir tersebut, namun berpandangan ia berasal dari premis-premis perniagaan seperti restoran dan bengkel berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI