AMPANG JAYA – Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes kecurian mesin pengeluaran automatik (ATM) emas di sebuah pasar raya di Taman Permata, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai pemasaran mendakwa mesin ATM emas di sebuah pasar raya telah ditarik keluar oleh individu tidak dikenali, 23 November lalu.
“Mesin itu bagaimanapun tidak mengandungi jongkong emas kerana telah dikosongkan terlebih dahulu. Kerugian hanya membabitkan nilai mesin iaitu kira-kira RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kata Mohd Azam, satu operasi telah dijalankan membawa kepada tangkapan tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit, bermula 26 November sehingga kelmarin.
“Kesemua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam operasi di Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor,” katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas dua telefon bimbit, beberapa pakaian, dan sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa mesin ATM berkenaan keluar dari lokasi kejadian.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah, namun suspek ketiga positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Semakan juga mendapati suspek ketiga memiliki 54 rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki untuk tiga kes berkaitan jenayah dan narkotik,” jelasnya.
Jelas Mohd Azam, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mengupah pemandu lori untuk membawa keluar mesin ATM dari lokasi kejadian.
“Dua suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala suspek ketiga direman selama empat hari bermula semalam hingga Rabu bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan aktiviti yang mencurigakan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.