PETALING JAYA – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua pelanggannya yang terjejas akibat banjir melalui bantuan pembiayaan yang sedia ada.
Selain itu, SME Bank turut menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan pembiayaan tambahan melalui Kemudahan Bantuan Bencana (DRF), yang mana ia merupakan salah satu institusi kewangan terlibat untuk menggerakkan dana berkenaan oleh Bank Negara Malaysia.
Kemudahan tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 untuk perusahaan mikro, dengan kadar pembiayaan yang kompetitif sebanyak 3.5 peratus setahun (termasuk yuran jaminan) dan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Pemangku Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pihaknya menggalakkan pelanggan yang terjejas untuk menghubungi pihaknya bagi meneroka pilihan bantuan pembiayaan bagi kemudahan sedia ada serta bantuan lain.
“SME Bank sentiasa menyokong semua pelanggan kami terutamanya dalam keadaan yang mencabar, sama ada semasa pandemik Covid-19 atau bencana alam seperti banjir.
“Dari tahun 2022 hingga 2023, program bantuan kami telah memanfaatkan sebanyak 3,855 pelanggan dengan jumlah nilai tertunggak RM6.01 billion,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE