IPOH – Seorang guru yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie digilis oleh sebuah Perodua Ativa pada 15 Disember lalu.
Saksi pendakwaan ke-16, Azura Yusoff, 50, berkata, mangsa telah digilis antara perut dan dada oleh tayar bahagian hadapan dan belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.
Bagaimanapun katanya, pemandu kereta itu tidak turun serta-merta dari kenderaan selepas kejadian sebaliknya mengambil masa beberapa saat untuk keluar menuju lokasi pelanggaran.
Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika dia berada di dalam kereta jenis Toyota Wish yang diletakkan di hadapan pintu pagar utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di mana sebuah kereta Proton Saga berwarna merah turut diparkir di hadapan kenderaannya.
“Kedudukan kereta saya menghadap simpang tiga jalan. Walaupun terdapat kereta lain di hadapan, pemandangan tidak terhalang.
“Semasa saya berada di dalam kereta, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dan penunggang pula telah digilis pada bahagian antara perut dan dada.
“Saya terkejut dan apabila nampak kereta itu berada di hadapan Proton Saga, saya ada membunyikan hon.
“Saya lihat pemandu kereta tidak serta-merta keluar, selang bebarapa saat kemudian baru dia keluar menuju ke tempat pelanggaran,” katanya.
Perkara tersebut dinyatakan guru di SMK Jelapang Jaya itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz. – KOSMO! ONLINE