PASIR MAS – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa negeri yang terjejas banjir berjaya dipindahkan ke asrama sebelum mereka menduduki peperiksaan hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, lebih 5,000 calon terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah itu berada dalam keadaan selamat di asrama di lokasi yang tidak terjejas banjir.
Menurutnya, kesemua pelajar itu berjaya diselamatkan menerusi fasa pertama Ops Payung iaitu memindahkan calon yang turut dijayakan oleh pelbagai agensi penyelamat semalam.
“Operasi memindahkan calon SPM ke asrama selesai 100 peratus semalam. Kita sudah memulakan fasa kedua Ops Payung hari ini iaitu pembugaran emosi bagi memastikan psikososial mereka dipersiapkan untuk menghadapi SPM.
“Di asrama juga lengkap dengan fasiliti. Mereka diberikan sokongan daripada kaunselor, buku, akses komputer dan internet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, beliau turut menyangkal dakwaan terdapat calon SPM yang tidak mempunyai kelengkapan untuk menduduki peperiksaan hari ini kerana semua mangsa banjir sudah dipindahkan ke asrama.
Menurutnya, asrama yang disediakan kepada calon SPM yang terjejas banjir sangat kondusif.
“Keselamatan dan kebajikan mereka (calon SPM terjejas banjir) merupakan keutamaan kita sebelum memulakan fasa kedua Ops Payung.
“Calon yang tidak dapat pulang ke negeri masing-masing akibat banjir dibenarkan mengambil SPM di mana-mana pusat peperiksaan,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) berjaya memindahkan seramai 300 calon SPM dari beberapa buah sekolah di Rantau Panjang dekat sini yang terkandas akibat banjir.
Kesemua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang termasuk Maahad Muhammadi Rantau Panjang dipindahkan dengan menaiki trak ke SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, Operasi Murni (Op Murni) itu mengambil masa selama lima jam memandangkan pergerakan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mengharungi dua lokasi yang ditenggelami air. – KOSMO! ONLINE