fbpx

RISDA sasar enam lagi cawangan RisSMart24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu cawangan RisSMart24 di Lembah Klang. - Foto FACEBOOK RISSMART24

PETALING JAYA – Kumpulan RISDA Holdings menyasarkan untuk menambah enam lagi cawangan RisSMart24 di kawasan strategik bagi memperluaskan jaringan dan capaian pelanggan mendapatkan variasi produk yang disediakan.

Sasaran penambahan itu adalah dalam masa terdekat melibatkan kawasan seperti Ampang, Damansara, Cyberjaya dan lain-lain.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memaklumkan, pada masa ini lima cawangan RisSMart24 telah beroperasi.

“Cawangan tersebut ialah Di UOA Business Park Glenmarie, Jalan Telawi Bangsar, Seksyen 7 Shah Alam, The Netizen Cheras dan Teras Jernang Bangi.

“Cawangan ini disokong oleh ekosistem perniagaan strategik melalui penyediaan gudang penyimpanan dan pengedaran produk yang terletak di Meru, Klang,” menurut kenyataan itu.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyempurnakan Majlis Perasmian RisSMart24 dan Pelancaran Syiling Peringatan Jubli Emas RISDA di UOA Business Park, Shah Alam.

Dalam pada itu, RisSMart24 mula beroperasi pada September lalu, dengan lima cawangannya di sekitar Lembah Klang menyediakan hampir 4,000 jenis produk.

Katanya, sebanyak 164 produk hasil usahawan bimbingan RISDA turut menjadi barisan produk di setiap cawangan yang diuruskan oleh Kumpulan RISDA Holdings ini.

“RisSMart24 merupakan entiti perniagaan sektor peruncitan, iaitu cabang baharu perniagaan di bawah pengoperasian Kumpulan RISDA Holdings.

“Ia bermatlamat bukan hanya memperkasa peningkatan pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan, malah berpotensi untuk bersaing dengan pemain perniagaan sedia ada di pasaran,” katanya.

Selain produk permintaan ramai dan produk usahawan RISDA, RisSMart24 juga memasarkan produk sejuk beku seperti skewer berasaskan daging wagyu, daging kambing serta daging lembu tempatan hasil keluaran RisSMart Butchery.

Bagi strategi jangka panjang, RISDA turut menjalankan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan daripada Thailand dan Jepun dengan membawa masuk produk popular daripada negara tersebut yang dilihat berpotensi menjadi nilai tambah dan daya tarikan golongan sasar kepada RisSMart24.

“RISDA turut menyatakan komitmen dalam menggandakan usaha bagi memastikan lebih banyak usahawan mampu membekalkan produk yang boleh ditempatkan di seluruh cawangan RisSMart24 terutamanya produk
yang mendapat Sijil Halal Malaysia.

“Penekanan RISDA juga, adalah bagi menambah bilangan usahawan bimbingannya memperoleh pensijilan halal yang menjadi nilai tambah kepada produk yang dihasilkan, serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Tahun ini sahaja, seramai 32 usahawan bimbingan RISDA terlibat dalam program pensijilan halal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI