PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengakui tidak gembira dengan aksi sambil lewa yang ditampilkan oleh barisan pemain selepas menyaksikan pasukan sekadar seri 1-1 pada perlawanan Ligue 1 di Parc des Princes awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, PSG berjaya mencatat rekod baharu dengan meraih 84.1 peratus penguasaan bola yang mana ia adalah tertinggi dalam sejarah Ligue 1 di Perancis.
Namun, Enrique mengakui rekod tersebut tidak memberikan sebarang makna jika pasukan gagal memanfaatkan segala peluang yang dicipta sepanjang perlawanan.
“Dalam bola sepak, efisien adalah segalanya tetapi kita boleh lihat pada aksi kali ini pemain tidak begitu tajam khususnya di jentera serangan.
“Pemain sudah mencipta banyak peluang, tetapi jika gagal menyudahkan setiap peluang tersebut, ia tidak memberikan sebarang makna, sebaliknya hanya memenatkan mereka,” katanya.
Sementara itu, penyerang PSG, Goncalo Ramos mengakui masih memerlukan masa untuk berada pada tahap terbaik selepas berada dalam senarai pasukan buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga bulan.
“Selepas pulih daripada kecederaan, saya kembali bermain dalam kesebelasan utama dan dapat beraksi tanpa sebarang kesakitan. Sekarang adalah masa untuk saya dapatkan semula keyakinan diri dalam usaha membantu pasukan menang pada aksi akan datang,” katanya. – AGENSI