PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberi sumbangan sebanyak RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi untuk membantu mangsa banjir.
PNB menerusi satu kenyataan berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk sebagai bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang bagi komuniti yang terjejas akibat banjir.
“Antaranya melibatkan kawasan banjir sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok dan Tumpat), Terengganu (Besut, Dungun dan Hulu Terengganu), Kedah (Kubang Pasu dan Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.
“Sumbangan disalurkan menerusi agensi-agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA),” kata kenyataan itu.
Jelas PNB, sumbangan tersebut merangkumi agihan makanan dan barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar dan kit kebersihan diri.
Selain itu, turut diberikan peruntukan untuk inisiatif pemulihan seperti bekalan barangan keperluan kembali ke sekolah dan barangan keperluan asas keluarga, membaiki rumah dan memulihkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta meningkatkan inisiatif air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) selepas bencana.
Sementara itu, RM900,000 daripada jumlah peruntukan tersebut telah disalurkan sebelum ini dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti.
“PNB akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi di bawah kami bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas banjir.
“Pendekatan proaktif PNB mencerminkan komitmen kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan menunjukkan dedikasi untuk menyokong komuniti terjejas yang memerlukan terutamanya semasa krisis,” katanya. – KOSMO! ONLINE