fbpx

Piala Malaysia: Taktikal bijak punca menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HIDALGO (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol kedua Sri Pahang semalam. - FARIZ RUSADIO

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad puas dapat membantu pasukan lolos ke suku akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan Selangor FC secara agregat 3-2 semalam.

Pada aksi kedua di Stadium MBPJ itu, skuad Tok Gajah mempamerkan kejutan dengan meraih dua gol menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero untuk melakar kemenangan 2-1.

Kata Fandi, barisan pemain mempamerkan prestasi cukup disiplin sepanjang 90 minit dan belajar banyak perkara selepas pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama di Temerloh bulan lalu.

“Saya gembira apabila pemain mempamerkan karakter cukup disiplin dan mendengar arahan taktikal yang telah kita tetapkan.

“Saya tekankan kepada pemain agar tidak bermain secara terbuka kerana kita tahu kualiti yang ada pada lawan lebih baik.

“Justeru, kita menggunakan taktikal bertahan dan melakukan serangan balas pantas setiap kali mempunyai peluang terhidang,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali dari Singapura itu turut memuji pasukan yang berdepan kesukaran apabila tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna sepanjang minggu lalu.

“Sepanjang minggu kita tidak dapat berlatih dengan baik dan hanya bermain di padang futsal dan rumput tiruan. Ketika berada di sini (Lembah Klang) baru dapat berlatih di padang seperti biasa,” katanya.

Sri Pahang yang memburu gelaran Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2014 bakal bertemu Perak FC di pentas suku akhir bulan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI