fbpx

Penyewa kereta pandu bahaya, curi Honda Civic dijel 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Wan Azhar ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penyewa kereta memandu Honda Civic secara berbahaya hingga seorang lelaki yang berpaut pada bonet tercampak dan mencuri kenderaan itu, membawa padah apabila dia dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh Muhammad Wan Azhar Azman, 20, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sejurus selepas tertuduh dijatuhi hukuman, Hakim Izaralizam menasihati tertuduh agar menjadi insan berguna selepas keluar dari penjara.

“Jalani hidup lebih baik selepas hukuman jadilah manusia berguna dan bila keluar (penjara) jangan ulangi sebarang kesalahan,” kata hakim itu.

Pada masa sama, Hakim Izaralizam dengan tegas turut mengatakan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius yang mana boleh membawa kepada kepada kematian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta jenis Honda Civic 1.8 secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang merupakan rakan kongsi pemilik kereta sewa itu berpaut di bonet hadapan kereta sebelum tercampak dan mengalami kecederaan parah.

Ia yang mana perbuatan tertuduh boleh menyebabkan kematian, maka tertuduh akan bersalah bagi kesalahan membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lampu Isyarat Lebuh Perdana Timur, Presint 15, Putrajaya pukul 3.40 petang hingga pukul 4 petang pada 23 Oktober lalu yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan yang boleh sampai dua puluh tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan Seksyen 307 Kanun Keseksaan itu, tertuduh dipenjara 10 tahun.

Selain itu, bagi satu lagi pertuduhan iaitu mencuri kenderaan sama milik seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pemilik kereta sewa itu pada tempat, waktu dan tarikh sama, tertuduh dihukum penjara empat tahun
mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi pertuduhan itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Oktober lalu.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman penjara ringan daripada tarikh tangkapan.

“Saya minta hukuman penjara ringan, daripada tangkapan, saya muda..saya da hasrat pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya
Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman pemenjaraan maksimum terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh sehingga mangsa mempunyai masalah berjalan dan mengalami lecur pada badannya.

“Tindakan tertuduh telah menyebabkan kecederaan serius pada bahagian kepala, muka dan keseluruhan badan mangsa. Selepas kejadian itu, mangsa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menerima rawatan selama tiga minggu.

“Saya dimaklumkan mangsa mempunyai masalah untuk berjalan selepas kejadian ini serta memerlukan rawatan lanjut bagi memulihkan keadaan mangsa.Berdasarkan laporan perubatan tindakan tertuduh ini menyebabkan mangsa mengalami lecur pada bahagian badan di kulit memberikan kesan trauma sepanjang hayat kepada mangsa.

“Tindakan tertuduh ingin melarikan kereta dan enggan membayar sewa adalah demi kepentingan sendiri. Oleh itu, hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan adalah wajar dikenakan terhadap tertuduh,” kata Nor Aisyah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI