MELBOURNE – Seorang wanita di Melbourne, Australia berdepan detik cemas apabila seekor ular harimau melingkar di kakinya semasa dia memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam, lapor laman berita News.com.au semalam.
Polis dikejarkan ke sebuah lebuh raya berhampiran susur keluar Jalan Toorak apabila wanita berkenaan dilaporkan cuba memberhentikan kenderaan lain yang lalu lalang.
Semasa disoal, wanita itu berkata, ketika dia sedang memandu, dia merasa seperti sesuatu bergerak pada kakinya.
Ketika melihat ke bawah, dia terkejut apabila mendapati ular keempat paling berbisa di dunia itu melingkar pada kakinya.
Wanita tersebut kemudian memberhentikan keretanya di tepi jalan sebelum keluar dari kenderaan untuk meminta bantuan daripada pengguna jalan raya yang lain.
Polis memanggil Kawalan Ular Melbourne untuk mengeluarkan reptilia tersebut, manakala wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. – AGENSI