PEMAIN beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik masih menganggap pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Yang-Wang Chi Lin sebagai ancaman pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) bermula 11 hingga 15 Disember ini.
Biarpun Lee Yang sudah menggantung raket pada September lalu, namun Wooi Yik mengakui kehadiran mereka perlu diberikan perhatian memandangkan Chi Lin masih lagi meneruskan karier bersama pemain muda, Hsiang Chieh Chiu dan masih mencatat keputusan cukup baik.
Tambahnya, Taiwan boleh dianggap berada sebaris dengan pasukan-pasukan besar lain seperti China, Jepun dan Korea Selatan kerana memiliki skuad beregu lelaki yang cukup ampuh.
“Memang ada ancaman cukup besar untuk keseluruhan saingan dalam acara beregu lelaki di Jelajah Dunia Akhir nanti. Meskipun Lee Yang bersara tetapi Chi Lin masih bermain bersama pemain muda dan pencapaian mereka juga agak baik.
“Pencapaian mereka sebelum ini membuatkan Taiwan lebih yakin dalam kejohanan-kejohanan besar. Sudah tentu kita perlu masukkan Taiwan sebagai salah satu lawan sukar sebaris China, Jepun dan Korea,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Lee Yang menggantung raketnya secara rasmi selepas dia dan Chi Lin mempertahankan pingat emas Sukan Olimpik di Paris, Perancis Ogos lalu menewaskan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 21-17, 18-21, 21-19 di perlawanan akhir.
Bagaimanapun, gandingan ‘otai’ Taiwan itu dapat disaksikan semula pada WTF 2024 di Hangzhou, China nanti memandangkan pemenang pingat emas Olimpik akan diberikan slot kelayakan automatik.
Sementara itu, Wooi Yik turut menjelaskan, kecederaan retak jari kaki yang dialami sebelum ini sudah pulih sepenuhnya dengan dia dan Aaron Chia sedang melakukan persiapan bagi menghadapi WTF 2024.
“Kondisi saya sudah semakin baik selepas Olimpik dan kecederaan dialami sebelum ini. Walaupun prestasi masih belum sebaik seperti di Olimpik, namun saya harap kami boleh catat keputusan terbaik,” ujarnya.
Sebagai rekod, WTF 2024 yang merupakan kejohanan penutup tirai Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan paling lumayan berjumlah AS$2.5 juta (RM11.17 juta).