fbpx

Nyonya Kain tingkat martabat seni batik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai koleksi batik termasuk aksesori menarik serta kreatif yang dibuat daripada batik dijual di kios jualan Nyonya Kain.

Nyonya Kain Enterprise yang terkenal dengan pelbagai koleksi batik di bawah jenama Nyonya Kain sejak tahun 2018 telah diasaskan oleh Dayana Mohamed Reza, bekas penerima faedah daripada Yayasan Peneraju di bawah Peneraju Profesional Pensijilan Perakaunan (CPA Australia).

Yayasan Peneraju (YP) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang berperanan sebagai Talent Bank untuk mengenalpasti, memupuk dan mengurus bakat bumiputera bagi memacu daya saing di peringkat global.

Wanita berusia 32 tahun itu yang berdedikasi tinggi begitu berminat dalam perniagaan berasaskan tekstil dan batik tempatan yang berinisiatif untuk membawa seni dan tradisi tempatan ke dalam gaya hidup seharian masyarakat lantas selain mahu mewujudkan kesedaran untuk mengamalkan kelestarian masa depan yang lebih sihat.

Meskipun didiagnosis sebagai penghidap Lupus (Cutaneous Lupus Erythematosus- CLE) namun ia tidak menghalang beliau untuk terus maju dan aktif sebagai aktivis Kelab SLE Malaysia dan juga melalui program CSR sehingga berjaya mengumpul lebih RM25,000 untuk pelbagai tujuan amal membantu pesakit kanser, perlindungan haiwan serta, pemerkasaan wanita.

“Saya bercita-cita untuk membuat perubahan walaupun dalam skala kecil melalui apa yang boleh saya lakukan sehingga berjaya,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

Jadi, tidak hairanlah melalui semangatnya yang tinggi telah membolehkan ibu muda ini dinobatkan sebagai usahawan wanita yang sedang meningkat naik dan Duta Perakaunan untuk bidang fesyen dan perniagaan oleh CPA Australia.

 

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang secara ringkas tentang syarikat Nyonya Kain?
Dayana: Saya berasal daripada keluarga yang kaya dengan semangat keusahawanan dan sangat berdedikasi dalam bidang ini termasuk saudara-mara serta juga daripada minat datuk nenek saya.

Saya telah jatuh cinta terhadap tekstil Malaysia khususnya batik sejak akhir tahun 2018. Pada mulanya kami hanya menjual kain batik lepas dan pada Jun 2019 dan kami telah berkembang untuk membuat rekaan fesyen dan aksesori kami sendiri hinggalah sekarang.

Bagaimanapun semasa pandemik, ia telah menjejaskan jualan di bazar kami tetapi peralihan kepada jualan secara online telah memberi kami akses kepada pe­langgan di seluruh Malaysia dan juga luar negara.

Ini memberi kami peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai jenama tersohor, selain kami dapat membuat kerja amal yang mana dananya diperoleh daripada hasil jualan setiap bulan.

Selain itu, kami juga sentiasa berinisiatif untuk mengembang dan menawarkan pelbagai koleksi batik dan songket.

Apakah perkembangan terbaharu Nyonya Kain?
Sejak menjadi seorang ibu pada Jun yang lepas, kami hanya memfokuskan kepada outlet utama yang terletak di Room 309, The School, Jaya One Peta­ling Jaya (PJ) dan juga pelbagai koleksi batik dan songket di beberapa kedai di Kuala Lumpur dan PJ yang dijual secara consignment.
Kami sedang sibuk membuat persiapan untuk tawaran koleksi baju raya 2025 dan juga untuk mencari reseller yang akan dapat memperluaskan lagi penguasaan pasaran barang keluaran syarikat. Ini adalah cara untuk kami menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mahu menjana rezeki sendiri dengan modal rendah dan menjual produk berkualiti serta mendapat komi­sen yang lumayan.

Apakah perbezaan trend jualan dan minat pelanggan terhadap produk Nyonya Kain pada masa kini?
Dalam fasa awal perniagaan kami hanya menjual kain pasang tetapi ketika itu agak sukar untuk mencari pelanggan dan menjual kain kerana bukan semua pe­langgan mempunyai tukang jahit sedia ada.

Terdapat juga masalah stok kain yang kadang-kadang lambat untuk dijual di­sebabkan oleh faktor kain yang berbagai motif, warna, tekstur dan juga kemungkinan sikap pelanggan yang begitu cerewet.

Secara berperingkat, saya mengubah trend berniaga dengan menyediakan pilihan baju yang sedia untuk dipakai dan juga barangan aksesori dan kraf.

Operasi dan perniagaan juga telah diperluaskan serta dikembangkan lagi. Kami menyasarkan kumpulan pelanggan yang terdiri daripada kaum lelaki dan pe­rempuan muda serta pelanggan sedia ada yang matang dalam pemilihan koleksi pakaian.

Boleh jelaskan produk keluaran di bawah Nyonya Kain, berapa kadar harga jualan dan siapakah kumpulan sasaran pelanggan?
Kami mempunyai pelbagai produk fesyen seperti kimono, pario, kemeja lelaki, baju Kedah, palazzo, aksesori rambut, anting-anting dan gelang batik, beg batik, tali leher, lanyard, topi batik dan macam-macam lagi.

Harga termurah adalah RM7.90 dan barang paling mahal adalah baju Kedah set kami yang boleh ce­cah sehingga RM229.90.

Disebabkan kami mempunyai pelanggan daripada pelbagai demografi, sememangnya kami mencuba untuk mengeluarkan produk untuk setiap jenis pelanggan seperti pelajar, graduan, warga bekerja, dan juga warga emas.

Buat masa ini kami hanya menggunakan hasil untung sedia ada untukpengembangan perniagaan masa depan dan sekiranya ada rezeki, kami akan memohon geran untuk mengembangkan perniagaan kami pada masa hadapan.

Apakah pendapat puan tentang minat masyarakat khususnya golongan muda terhadap pemakaian kain-kain tradisional, berbaju kurung berkebaya?
Melalui jenama seperti Nyonya Kain dan jenama lain yang ­menyediakan barangan batik secara moden, tradisional dan dengan jenis produk yang pelbagai, ramai golongan muda dan juga orang luar kini semakin tertarik dan memahami tentang pema­kaian tradisional khususnya batik.

Lebih ramai orang yang mengenakan pakaian batik untuk aktiviti harian, majlis rasmi, pakaian kerja dan banyak lagi.

Ini membuatkan kami sebagai pengusaha batik sangat berbangga untuk membantu Malaysia memartabatkan pemakaian batik di dunia. -KOSMO ONLINE!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI