fbpx

‘Menang trofi luar negara tapi penat lelah saya terbayar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azira berbangga berbangga dengan kejayaannya merangkul dua anugerah di peringkat antarabangsa selepas bergelar pelakon sejak 10 tahun lalu.

GENTING HIGHLANDS – Aktres Azira Shafinaz mengakui berbangga dengan kejayaannya merangkul dua anugerah di peringkat antarabangsa selepas bergelar pelakon sejak 10 tahun lalu.

Menurut Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan, 33, yang menggondol trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Kuala Lumpur ke-61 (APFF61) menerusi filem Indera berkata, kemenangan tersebut tidak terlalu membuatkannya tertekan sebaliknya lebih teruja memberi lebih baik dalam lakonan kelak.

“Mungkin tekanan lebih kepada mutu lakonan yang akan saya berikan selepas ini. Walaupun sudah berlakon selama 10 tahun, saya ada banyak lagi benda nak belajar.

“Kalau nak kata tekanan, tidaklah terasa sangat tetapi saya tak sangka selalu diiktiraf di anugerah peringkat antarabangsa, bukannya di dalam Malaysia.

“Di situ, saya terpaksa berbangga dengan diri sendiri, alhamdulillah,” katanya kepada Kosmo! Online selepas malam kemuncak APFF61 di sini, hari ini.

Bersyukur dengan kejayaan sendiri, ahli kumpulan DeFam itu bagaimanapun tetap berasakan masih ada kekurangan dalam kamus kerjaya seninya selagi belum menggenggam trofi anjuran festival filem tempatan.

“Penat lelah saya terbayar dengan trofi ini. Saya tak boleh nak cakap sama ada kurang dihargai di festival filem tempatan tetapi mungkin belum ada rezeki lagi di Malaysia.

“Namun, sudah tentu lebih berbaloi jika bakat kita diiktiraf di luar negara.

“Tapi saya memang teringin untuk menang trofi seperti Festival Filem Malaysia (FFM) yang diakui sangat berprestij di negara kita.

“Insya-Allah, jika ada tawaran berlakon yang wataknya mencabar dan boleh melayakkan saya tersenarai sebagai finalis FFM, saya akan terima,” ujarnya.

Menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik APFF61, Azira menewaskan empat lagi finalis dari Iran, Thailand, Indonesia dan Taiwan.

Sebelum ini, Azira pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik (Watak Komedi), Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) menerusi drama terbitan Viu iaitu Ijab Kabut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI