KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di negeri ini hari ini meningkat kepada 1,517 mangsa daripada 502 keluarga berbanding sebanyak 1,152 mangsa daripada 389 keluarga yang direkodkan semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa daripada tiga daerah iaitu Raub, Jerantut dan Lipis ditempatkan di 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Daerah Raub merekodkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 1,373 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS, diikuti daerah Jerantut sebanyak 105 mangsa di empat PPS dan 39 mangsa di Lipis yang ditempatkan di dua PPS.
“Setakat ini tiada kes kematian akibat banjir direkodkan di negeri ini,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pada masa ini dua stesen pemantau iaitu Sungai Pahang di Lipis dan Jerantut merekodkan paras bahaya iaitu masing-masing 76.6 meter dan 53.2 meter.
Katanya, enam lagi stesen pemantau Sungai Pahang di Bera, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran merekodkan paras amaran. – KOSMO! ONLINE