PETALING JAYA – Malaysia dan Timor-Leste bersetuju untuk memberikan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua negara tersebut pada majlis Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang berlangsung sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ke Malaysia, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan bersama Gusmao juga telah menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah terkait pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste untuk pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.
“Semasa sidang media bersama, saya nyatakan komitmen kepada Gusmao untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mahu menyaksikan Timor-Leste mencapai kejayaan sama ada dalam politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat dengan Malaysia serta antara negara-negara ASEAN.
“Saya turut umumkan kesepakatan kami dalam melonjak kesalinghubungan kedua-dua negara menerusi penerbangan terus Kuala Lumpur-Dili oleh Batik Air bermula awal tahun depan dan bakal disusuli oleh AirAsia,” katanya.
Tambah Anwar, tumpuan kedua-dua negara ketika ini adalah mahu memastikan perdagangan dan pelaburan berjaya dilonjakkan ke peringkat lebih tinggi, di samping memperkukuh kerjasama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pendidikan tinggi.
“Saya turut ulangi iltizam untuk mempermudah dan menyegerakan proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, terutama sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia tahun depan.
“Saya amat tersentuh mendengar kenyataan Gusmao terkait konflik di Gaza, Myanmar, Ukraine dan selainnya.
“Kebimbangan beliau yang mendambakan keamanan ternyata lahir dari hati nurani dan pergelutan panjangnya dalam memerdekakan Timor-Leste.
“Pertemuan saya dan Gusmao hari ini telah berjaya memperkukuh hubungan kedua-dua negara dan mempererat persahabatan peribadi kami. Mendoakan masa depan yang cemerlang untuk Malaysia dan Timor-Leste. Insya-Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE