KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diminta menyegerakan pemberian bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyaluran segera sumbangan menerusi peruntukan khas banjir bernilai RM12 juta sangat penting dalam keadaan yang mendesak ketika ini.
“Fokus sekarang adalah kepada negeri-negeri terlibat banjir khususnya di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu begitu juga di Kedah, Johor serta Pahang yang sudah mula banjir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bijak Bestari Kampung Bharu oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di sini, hari ini.
Semalam, Mohd Na’im mengumumkan peruntukan tambahan RM7 juta daripada MAIWP bagi membantu mangsa terjejas banjir di seluruh negara.
Ia merupakan tambahan peruntukan terdahulu sebanyak RM5 juta yang diumumkan pada Sabtu lalu.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Program Bijak Bestari Kampung Bharu, Mohd Na’im berkata TH telah menyumbangkan sebanyak RM159,700 untuk program tersebut bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar serta menyokong usaha Kerajaan Perpaduan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani dan Santuni Madani
“Program ini telah berlangsung sejak 5 Oktober lalu hingga 14 Disember dengan melibatkan 100 pelajar sekolah rendah dan menengah yang merupakan golongan asnaf di Kampung Bharu.
“Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat pelajar untuk terus hadir ke sekolah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada TH kerana menyambut usaha kerajaan dalam menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan komuniti luar bandar, khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan termasuk melalui Program Bijak Bestari Kampung Bharu ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, Program Bijak Bestari Kampung Bharu mendapat kerjasama daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai pelaksana.
“Program ini bertujuan untuk membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan bagi menangani masalah keciciran pelajaran.
“Antara topik yang diberi perhatian ialah sains, keusahawanan, teknologi robotik, teknik menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), prospek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, institusi pengajian tinggi awam serta swasta, perancangan kerjaya dan perkongsian ilmu daripada pelbagai tokoh bidang. – KOSMO! ONLINE