JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou memasang impian untuk menamatkan kempen musim ini dengan rekod tanpa kalah menjelang Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain di Manama bermula 11 hingga 15 Disember ini.
Pemain berusia 36 tahun itu dilihat tidak berdepan masalah besar untuk mencapai cita-citanya memandangkan dia merupakan juara bertahan, namun tahun ini taraf kejohanan tersebut dinaikkan ke Tahap 1 berbanding Tahap 2 tahun lalu.
Bagaimanapun, Liek Hou tetap berwaspada dengan ancaman yang mungkin hadir daripada pemain-pemain lain memandangkan hanya kelompok 12 pemain terbaik dunia bakal beraksi pada kejohanan penutup tirai 2024 itu.
“Selepas ini saya akan menyertai kejohanan terakhir bagi musim 2024, iaitu Kejohanan Antarabangsa Bahrain. Memandangkan ia adalah kejohanan Tahap 1, jadi saya harus pergi dan bermain.
“Tahun lepas saya menang tetapi ia Tahap 2 tetapi kali ini Tahap 1. Sekiranya saya dapat memenangi kejohanan tersebut, maka tahun ini saya tidak pernah kalah,” kata pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu.
Sebagai rekod, Liek Hou yang juga perseorangan lelaki No.1 dunia kategori SU5 mengharungi kempen cukup cemerlang musim ini, terutamanya apabila berjaya mempertahankan pingat emas Paralimpik di Paris, Perancis pada Ogos lalu.
Liek Hou turut menjelaskan, dia akan membuat pertimbangan mengenai masa depannya dalam arena sukan sebaik sahaja selesai temasya Sukan Para Asia 2026 di Nagoya, Jepun nanti.
“Tahun depan saya merancang untuk menyertai lapan atau sembilan kejohanan dengan sasaran hingga Sukan Para Asia 2026. Selepas itu kena tengok kondisi badan, sekiranya diizinkan, saya akan sambung lagi.
“Pada usia saya sekarang, sudah tidak ada tekanan kerana mahu nikmati detik setiap perlawanan yang diharungi. Saya hanya nak cipta lebih banyak rekod dan sejarah untuk diri sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE