BALIK PULAU – Kelicikan seorang lelaki warga Indonesia membawa pulang bekalan dadah bernilai RM217,424 ke negara asalnya melalui jalan laut terkubur apabila dia diberkas polis di Jeti Teluk Bahang, di sini semalam.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD) menerusi satu operasi khas, kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, penahanan ke atas suspek dipercayai keldai dadah dilakukan ketika lelaki itu sedang membawa satu beg galas untuk pulang ke Riau melalui jeti berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemui ketulan dadah jenis ganja seberat 6.5 kilogram (kg), bungkusan dadah jenis syabu dengan berat (6.1kg) dan dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (34 gram).
“Siasatan lanjut mendapati, suspek masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu dan sudah tinggal lebih masa di negara ini.
“Suspek baru pertama kali menjejak kaki ke Malaysia dan baru bergiat aktif dalam kegiatan ini. Malah, difahamkan bekalan dadah yang diambil di negeri ini akan dipasarkan ke luar negara melalui jalan laut,” katanya pada sidang akhbar di IPD BD, hari ini.
“Suspek juga dikatakan membayar upah kepada pemandu bot warga tempatan sebanyak RM3,000 untuk membawanya ke perairan sempadan negara.
“Dia (suspek) juga dipercayai telah dijanjikan dengan bayaran RM2,800 bagi setiap satu kilogram dadah,” ujarnya hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif sebarang pengambilan dadah.
Beritahu Sazalee lagi, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM217, 424 dan ia boleh digunakan oleh 18,000 penagih atau 18,000 kali penggunaan.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE