PUTRAJAYA- Masyarakat Islam di Pulau Langkawi, Kedah boleh disifatkan beruntung berikutan kedudukan pulau peranginan popular itu sebagai paling dekat dengan Kaabah.
Demikian maklumat disahkan sumber pakar falak yang turut berkongsikan data terkini terbitan pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
Menurut kiraan agensi itu yang juga disiarkan menerusi Almanak Falak Syarie Malaysia 2025, jarak Kuah dengan Kaabah ialah 6,654 kilometer (km).
Lokasi itu dilihat lebih dekat berbanding titik paling utara di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Perlis, Perlis di garis sempadan Malaysia-Thailand dengan jarak iaitu 6,674 km.
Perlis secara umum merekodkan kedudukan amat dekat dengan Kaabah berbanding tempat-tempat lain termasuklah Kangar yang cuma 6,684 km.
Ini disusuli bandar-bandar utama di dua jirannya, Kedah dan Pulau Pinang mencatatkan sekitar lebih 6,700 km antaranya Alor Setar (6,715 km) dan George Town (6,733 km).
Dalam pada itu, Tambisan di Lahad Datu, Sabah yang secara geografinya terletak paling timur di Malaysia muncul sebagai lokasi paling jauh daripada Kaabah iaitu 8,683 km. – KOSMO! ONLINE