PASIR MAS – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia mempertimbangkan cadangan untuk untuk menukar waktu pemeriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, cadangan dan maklum balas mengenai perkara tersebut boleh diperhalusi secara lebih mendalam selepas ini.
Menurutnya, segala cadangan yang melibatkan kebimbangan ramai sentiasa menjadi pertimbangan KPM sebelum membuat sebarang keputusan.
“SPM ketika ini jadualnya begitu iaitu pada hujung tahun. Kita berdepan dengan cuaca (hujan dan banjir). Jadi, perkara itu (cadangan menukar waktu SPM) turut diambil kira.
“Tiada masalah (untuk melaksanakan cadangan) dan KPM akan perhalusi perkara itu. Kita akan lihat dari masa ke semasa kerana ia merupakan kebimbangan besar masyarakat (peperiksaan SPM semasa musim tengkujuh),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan, calon yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki ujian lisan Bahasa Melayu peperiksaan SPM meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kelam kabut, alat tulis dan buku rujukan hilang selain mengulang kaji dalam keadaan bising tidak mematahkan semangat mereka untuk menduduki SPM yang bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE