fbpx

Kerjasama Mindef, KPT tingkat tahap pendidikan, kerjaya warga ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali (kiri) dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menandatangani MoU sebagai tanda termeterainya kerjasama strategik antara kementerian, disaksikan Mohamed Khaled (dua dari kiri) dan Zambry (dua dari kanan) di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur hari ini. - Foto FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mempertingkatkan tahap pendidikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan (Mindef) menjalin usaha sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi memorandum persefahaman (MoU) melibatkan tiga bidang kerjasama.

Antaranya adalah Inisiatif Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), Inisiatif Program Komuniti Tertumpu dan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP) bertujuan melonjakkan kualiti serta kesejahteraan hidup warga ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain membantu meningkatkan tahap pendidikan anggota ATM daripada hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sekurang-kurangnya diploma, MoU ini juga bertujuan memberi peluang kerjaya kedua kepada mereka selepas bersara.

Menurut Mohamed Khaled, Inisiatif WBL yang diperkenalkan merupakan satu usaha untuk memastikan pengiktirafan bakat, ilmu serta pengalaman anggota dalam perkhidmatan dilakukan secara formal dan berstruktur.

“Kerajaan telah luluskan RM3 juta bagi tujuan ini dan setakat ini, hasil perbincangan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), kita sudah kenal pasti 10 program diploma untuk ditawarkan kepada anggota-anggota ATM yang sedang dalam perkhidmatan.

“Inisiatif ini hanya melibatkan anggota ATM yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun. Calon layak ini akan dinilai sepanjang mereka berkhidmat dan kemudian akan ditentukan bidang pengajian yang sesuai untuk diberikan diploma oleh pihak universiti.

“Dulu, nak jadi juruterbang jet pejuang, syaratnya ada SPM, tapi bila keluar tak jumpa kerja walaupun dah pegang semua kemahiran sebab hanya ada kelayakan SPM. Program WBL ini kita bantu mereka memiliki diploma jadi mudah nak mohon kerja lepas bersara,” katanya pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara Mindef dan KPT di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Inisiatif Program Komuniti Tertumpu pula adalah satu bentuk Projek Inovasi Sosial yang dilakukan dalam kem-kem ATM untuk meneroka cara serta peluang bagi mewujudkan program ke arah peningkatan ekonomi warganya menerusi pemindahan ilmu daripada IPT (institusi pengajian tinggi).

Mengulas mengenai Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP), Mohamed Khaled berharap agar pemegang taruh di bawah kedua-dua kementerian akan menjalin dan meneroka pelbagai kerjasama penyelidikan yang bermanfaat untuk negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI