DUNGUN – Mayat lelaki yang dihanyutkan arus deras banjir setelah cuba melalui laluan yang ditenggelami air di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, di sini semalam berjaya ditemui, sebentar tadi.
Mayat mangsa, Wan Muhammad Firdaus Wan Nasir, 36, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.15 petang.
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Zon 2 Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada jarak 10 meter dari lokasi motosikalnya dijumpai sebelum ini.
“Mayat mangsa (Wan Muhammad Firdaus) ditemui terapung selepas pasukan penyelamat membuat teknik olakan arus menggunakan bot.
“Operasi SAR juga agak mencabar kerana lokasi pencarian dipenuhi pokok-pokok. Lokasi dia ditemui ditenggelami banjir sedalam kira-kira tiga meter dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dikatakan memasuki kawasan ladang kelapa sawit berkenaan bersama dua rakannya pada pukul 5 petang, kelmarin.
Dia menunggang motosikal dengan mengikuti belakang lori yang membawa dua rakannya hamun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu dihanyutkan arus deras ketika mahu keluar dari ladang itu pada pukul 5 pagi, semalam. – KOSMO! ONLINE