HONG KONG – Sebuah kedai barangan mewah di Hong Kong memberi pampasan kepada pelanggannya selepas 66 beg tangan jenama mewah Hermes bernilai HK$10 juta(RM5.7juta) dicuri dalam masa hanya lima minit, lapor portal berita VNExpress semalam.
Rompakan itu berlaku kelmarin di kedai Ginza Xiaoma, terletak di tingkat 17 Menara Dunia Baharu di daerah Hong Kong Tengah.
Menurut polis, tiga pencuri bertopeng memasuki kedai pada pukul 7,41 pagi (waktu tempatan) dan memecahkan kabinet pameran sebelum mencuri beg tangan bernilai tinggi.
Pencuri mengambil beberapa model beg Hermes baharu termasuk Birkin 25, Birkin 30, Kelly 25, dan Kelly 28 sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan.
Foto dari tempat kejadian menunjukkan kaca pecah bertaburan di seluruh kedai dan pintu masuknya.
Sebenarnya, geng itu mencuri 67 beg tersebut tetapi satu lagi ditemui di tangga kedai tersebut.
Skuad jenayah polis sedang menyiasat rompakan itu, namun ramai terkejut dengan ketepatan dan kepantasan geng pencuri tersebut. – AGENSI