GUA MUSANG – Bantuan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjadi alternatif terakhir untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa sekiranya berlaku banjir besar pada gelombang kedua bah di sini selepas ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Nik Raisnan Daud berkata, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah mengenal pasti tempat pendaratan dan 13 bukit untuk menghantar bekalan kepada mangsa.
Katanya, taklimat dan penyerahan barangan ‘survival kit’ sebagai keperluan sudah diagihkan kepada kawasan yang terlibat sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan.
“Peralatan seperti dapur, gas mudah alih, cangkul, lilin, khemah, tali dan bekalan makanan sudah disediakan di semua kawasan yang terlibat.
“Selain itu taklimat dan suar sudah diberikan kepada wakil di setiap kawasan. Suar berwarna merah menandakan berlaku kematian di kawasan tersebut manakala warna kuning pula kekurangan makanan,” katanya ketika ditemui pemberita di Anjung Marina, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini.
Nik Raisnan yang juga Ketua Jajahan Gua Musang memberitahu, perbincangan bagi penggunaan helikopter di peringkat negeri sudah dimaklumkan dan ia merupakan ikhtiar semua pihak bagi menghadapi kejadian banjir luar jangka seperti yang berlaku pada 2014.
“Kawasan mendarat helikopter tenggelam semasa bah kuning 10 tahun lalu. Tahun ini, pihak kami telah menyediakan tiga tempat pendaratan alternatif,” katanya. – KOSMO! ONLINE