fbpx

Enam syarikat korporat tunai zakat perniagaan lebih RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im (tengah) hadir pada pada Majlis Malam Amal Kasih ALLAH dan Rasul sempena Karnival YEZ.

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan sebanyak RM4,720,966.49 daripada enam syarikat korporat pada Majlis Malam Amal Kasih Allah dan Rasul sempena Karnival Year End Zakat (YEZ) bersama Pasar Saloma.

Pengurus Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP, Norazlina Mohd. Nordin berkata, dalam majlis sama turut diadakan serahan sumbangan wakalah dengan jumlah keseluruhan RM150,954.

“RM10,954 disumbang kepada 100 keluarga asnaf Putrajaya menerusi Sumbangan Bakul Rezeki, bantuan kewangan kepada 100 kakitangan B40 Perbadanan Putrajaya (RM20,000), sumbangan RM20,000 kepada 100 pekerja pembersihan Alam Flora serta 100 pelajar asnaf menerima manfaat Pakej Tuisyen MC+ (RM100,000),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, karnival yang berlangsung selama empat hari sehingga semalam adalah sempena Kempen YEZ yang diadakan bermula 15 November hingga 31 Disember 2024 yang juga merupakan kolaborasi bersama Pasar Saloma serta penaja utama iaitu MC Corporate Consultant Sdn Bhd.

Selain itu, antara senarai penaja adalah Alam Flora Sdn Bhd, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Affin Bank Berhad, Merchant Nine Sdn Bhd, Fa Izin International Travel & Tours Sdn Bhd, dan YOANA Beauty.

Bagi memeriahkan karnival YEZ x Pasar Saloma itu, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur seperti pertandingan mewarna, nasyid, street soccer serta pertandingan kompang.

“Turut dibuka reruai pameran rakan strategik seperti Affin Bank Berhad, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tabung Haji, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain khas buat para pengunjung,” katanya.

Tambah Norazlina, sempena kempen YEZ orang ramai digalakkan agar segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2024 bagi mendapatkan rebat cukai pendapatan selain berpeluang untuk memenangi lebih 1,500 hadiah menarik.

“Sepanjang bulan ini kaunter dibuka setiap hari termasuk cuti umum bermula 8 pagi sehingga 4.45 petang, manakala hari Jumaat dan sembilan hari terakhir Disember waktu operasi kaunter dilanjutkan sehingga 9 malam.

“Atau lebih mudah, para pembayar zakat juga boleh menunaikan tanggungjawab berzakat dengan memanfaatkan kemudahan pembayaran dalam talian melalui portal www.zakat.com.my, aplikasi MyZakat, perbankan internet serta ejen rasmi yang dilantik PPZ-MAIWP,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI