PETALING JAYA – Kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mempertingkat ekonomi di negeri Perlis dengan memberi sokongan dari segi pembinaan infrastruktur mengikut keperluan dan kedudukan kewangan semasa Kerajaan serta penjanaan pelaburan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah 2.87 bilion ringgit bagi negeri Perlis termasuklah projek-projek infrastruktur.
“Dalam aspek pelaburan pula, Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, NCIA telah berjaya menarik pelaburan direalisasi sebanyak 173.3 juta ringgit bagi tempoh 2021 hingga
2023 bagi negeri Perlis.
“Antara projek pelaburan berimpak tinggi yang dibangunkan oleh NCIA di negeri Perlis adalah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping atau CVIA yang telah siap dan bersedia untuk menerima
kemasukan pelabur,” katanya.
Katanya sehingga Oktober 2024, terdapat dua syarikat telah melabur di CVIA iaitu syarikat elektrikal dan elektronik dan syarikat farmaseutikal dengan jumlah pelaburan sebanyak RM325 juta dan penghasilan 350 peluang pekerjaan.
“NCIA turut membangunkan infrastruktur luaran bagi menyokong pembangunan Perlis Inland Port, PIP di Chuping, Perlis yang dibangunkan oleh pihak swasta.
“Projek infrastruktur luaran oleh NCIA ini dijangka siap menjelang penghujung tahun 2024 dan PIP dijangka akan beroperasi pada bulan Julai tahun 2025,” jelasnya.
Katanya, dengan adanya ekosistem logistik yang kukuh di negeri Perlis, dijangka usaha Kerajaan untuk menarik pelabur dari kalangan industri yang bernilai tinggi untuk melabur di negeri Perlis akan menjadi lebih mudah. – KOSMO! ONLINE