fbpx

Bungkus dadah dalam ubat cirit birit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SOHAIMI (dua dari kiri) menunjukan rampasan dadah pada sidang akhbar di IPD Seri Alam, Pasir Gudang, Johor Bahru hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan modus operandi baharu iaitu menyembunyikan serbuk dadah di dalam bungkusan ubat cirit-birit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, modus operandi itu dibongkar selepas penahanan sepasang kekasih di Bandar Seri Alam, di sini, Khamis lalu.

Menurut beliau, suspek berusia 43 dan 27 itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat pada pukul 10 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati rumah itu dijadikan tempat simpanan dadah sebelum diedarkan kepada penagih. Polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 474 gram (g) ketamin; 295 g pil ekstasi; 397 g serbuk ekstasi dan 215 g pil eramin 5 bernilai keseluruhan RM63,050.

“Ujian urin dibuat mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di IPD Seri Alam, di sini hari ini.

Tambah beliau, jika dadah tersebut kekal dalam pasaran, ia boleh digunakan seramai 5,392 penagih.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga boleh dikenakan sebatan,” ujarnya sambil memberitahu dalang dan ahli lain sindiket itu masih diburu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI