ALOR SETAR – “Saya hilang kata-kata kerana bukan sahaja rumah kena banjir, malah lebih 14 hektar sawah yang saya dan keluarga usahakan turut sama tenggelam”.
Demikian luah penduduk Kampung Alor Gunung, di sini, Saad Ahmad, 77, ketika ditemui di Jalan Gunung Keriang, di sini hari ini.
Menurut Saad, tanaman padi di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) i-II Kuala Sungai yang baru berusia kira-kira tujuh hari tenggelam sepenuhnya dan dikhuatiri rosak sekiranya terendam dalam masa lama.
“Sedih bila tengok rumah dan sawah ditenggelami banjir, namun apakan daya itu semua ketentuan Ilahi. Semua tanaman tenggelam, sudah jadi macam lautan.
“Kalau tengok keadaan, 10 hari pun susah air dalam petak sawah ini nak surut. Tanaman saya ini mungkin rosak dan saya perlu ulang semula proses menabur,” katanya.
Ujarnya, dia mengeluarkan kos lebih RM15,000 untuk membeli benih padi dan lebih RM2,000 untuk kos upah orang membajak dan menabur benih.
“Nasib baik saya ada mesin pembajak sendiri, jadi kos dapat dikurangkan. Apa pun saya berharap pihak kerajaan dapat membantu saya dan pesawah lain yang terjejas untuk memulakan proses menabur.
“Kalau boleh kerajaan beri bantuan, kita tidak mahu berhutang untuk cari modal baharu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE