KUALA TERENGGANU – Hujan yang mulai reda pagi ini membolehkan situasi banjir di Terengganu memulih sedikit dengan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 39,865 orang.
Mereka yang terdiri daripada 10,703 keluarga masih berada di 271 PPS di seluruh negeri ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut kekal paling terjejas dengan 10,465 mangsa daripada 2,851 keluarga berada di 92 PPS.
“Seramai 9,233 mangsa daripada 2,301 keluarga pula berada di 44 PPS di Dungun.
“Sebanyak 56 PPS yang menempatkan 6,852 mangsa daripada 2,104 keluarga dibuka di Hulu Terengganu,” katanya.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus mempunyai 4,683 mangsa daripada 1,194 keluarga yang masih berlindung di 14 PPS.
Beliau berkata, seramai 4,115 mangsa daripada 1,039 keluarga berada di 12 PPS di Kuala Terengganu.
“Sebanyak 33 PPS beroperasi di Setiu dengan 2,454 mangsa daripada 675 keluarga ditempatkan di dalamnya. Kemaman pula mempunyai 1,102 mangsa daripada 288 keluarga di 10 PPS,” ujarnya.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 961 mangsa daripada 251 keluarga pula berada di 10 PPS di Marang. – KOSMO! ONLINE