KOTA BHARU – Kos sebanyak RM16 juta diperlukan untuk membaik pulih jalan Persekutuan di Kelantan yang rosak akibat banjir yang melanda sejak Isnin minggu lalu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, anggaran awal itu melibatkan jalan runtuh, mendap dan bahu jalan rosak.
“Bagi jalan negeri pula, kita perlukan kos untuk baik pulih bagi kerosakan yang sama seperti jalan Persekutuan iaitu sebanyak RM6.5 juta.
“Setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan turut mengesan lapan kejadian tanah runtuh, dua bahu jalan rosak dan dua tanah mendap melibatkan jalan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai kerosakan jalan akibat banjir di Pejabat JKR Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, segala maklumat yang diperoleh akan dilapor segera kepada Kementerian Kewangan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya peruntukan dapat diberikan dengan segera.
Katanya, kerja baik pulih semua kerosakan terbabit perlu juga mengambil kira faktor musim tengkujuh serta beberapa siri gelombang hujan dan banjir.
“Ia merupakan antara faktor yang menjadi halangan ketika ini. Bukan kita tidak mahu baiki segera. Jika kerja-kerja baik pulih dilaksanakan awal, ia akan menambah lagi masalah sedia ada apabila banjir kembali melanda,
“Jadi, kita perlu tunggu dan lihat dalam masa beberapa minggu sebelum kerja pembaikan dilaksanakan. Jangka masa ‘standard’ untuk kerja baik pulih adalah tiga bulan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE