fbpx

Azrai idam hatrik penjaring terbanyak MHL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZRAI (kanan) meletakkan sasaran untuk menjadi penjaring terbanyak MHL 2025 bersama TNB tahun depan.

PENYERANG hoki kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mempunyai misi besar untuk mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) buat kali ketiga menjelang saingan pada 4 Januari hingga 22 Februari 2025.

Bintang berusia 25 tahun itu masih tidak berpuas hati terhadap prestasinya sebelum ini sekali gus menjadi pembakar semangat untuk menjadikan MHL 2025 sebagai medan kebangkitan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga pasukannya.

“Saya memang akan cuba untuk menjadi top scorer (penjaring terbanyak) kali ketiga. Tapi jujurnya saya masih belum puas. Pasukan perlu bekerja lebih keras untuk peningkatan,” kata Azrai yang kini sedang menjalani rehabilitasi akibat kecederaan hamstring.

Meskipun bergelut dengan kecederaan, Azrai tetap optimis dengan peluang pasukannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan juara bertahan MHL untuk mengukuhkan dominasi mereka seperti dilakukan musim ini.

“Sebelum saya dapat penjaring terbanyak saya akan pastikan skuad TNB merangkul kejuaraan. Untuk tahun depan, sasaran skuad masih sama dan saya harap pasukan dapat bekerjasama seperti sebelum ini, ujarnya.

Biarpun belum kembali sepenuhnya ke sesi latihan penuh, Azrai berusaha untuk mengekalkan fokus untuk memberikan yang terbaik selain berharap dapat mengulangi kejayaan seperti musim sebelumnya.

“Kita belum main dengan beberapa pasukan baharu, tapi saya percaya TNB mempunyai persediaan yang kukuh untuk hadapi cabaran,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Azrai mengakui cabaran untuk menjuarai Piala Asia 2025 bukanlah sesuatu yang mudah, terutama apabila kejohanan itu menjadi tiket kelayakan ke Piala Dunia.

“Memang bukan mudah jadi juara, dari sekarang memang kami akan lebih bekerja keras untuk capai matlamat. Tekanan memang ada sebab kami nak layakkan diri, namun kami kena terima tekanan tersebut sebagai satu motivasi,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI