KUALA LUMPUR – Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ mewakili cabaran langsung terhadap sistem yang meminggirkan negara-negara membangun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama visi pemusatan ASEAN juga adalah bagaimana wilayah di selatan global boleh mengekalkan kebebasan sambil terlibat secara konstruktif dengan kuasa global.
Beliau turut menyentuh mengenai tindakan pihak Israel terhadap rakyat Palestin yang merupakan jenayah perang, hukuman kolektif dan pembunuhan beramai-ramai adalah penghinaan terang-terangan terhadap norma undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Sejarah telah menunjukkan kepada kita kuasa perpaduan moral. Aparteid di Afrika Selatan, dunia bersatu mengasingkan rejim yang mengabaikan prinsip kemanusian.
“Hari ini pencerobohan Israel terus berlaku, tanpa menghiraukan kehidupan rakyat Palestin selain menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
“Dalam kita menghadapi cabaran ini, ASEAN menjadi contoh bagaimana kerjasama selatan-selatan (south-south partnership) boleh dimajukan dengan lebih saksama dalam pelbagai hala,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Forum Tindakan Bersama 2024, di sini hari ini.
Anwar berkata, penglibatan Malaysia dalam BRICS misalnya adalah berdasarkan pengiktirafan bahawa Malaysia sebuah negara berpendapatan sederhana atas yang semakin meningkat, berkongsi persamaan dari segi kebimbangan ekonomi dengan kuasa lain yang semakin meningkat.
“Negara seperti Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan dan ahli BRICS yang lain mewakili pasaran dengan peluang besar.
“Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu, Malaysia mesti menggunakan setiap platform serantau dan antarabangsa yang tersedia untuk menangani perkongsian kebimbangan secara langsung dengan rakan kongsi utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE