WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa tarif import sebanyak 100 peratus akan dikenakan kepada negara-negara anggota BRICS sekiranya ia meneruskan rancangan untuk mewujudkan mata wang baharu, lapor agensi berita United Press International (UPI).
BRICS merupakan gabungan lima negara awal yang menganggotainya iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan sebelum disertai Iran, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Ethiopia tahun ini.
Menulis di platform media sosial Truth Social miliknya, Trump berkata, negara-negara itu akan dikenakan tarif tersebut jika mewujudkan mata wang baharu bagi menggantikan dolar AS.
“Sangkaan bahawa negara-negara BRICS cuba beralih daripada dolar dan kami (AS) hanya berdiri dan melihat sahaja, sudah berakhir.
“Kami memerlukan komitmen dari negara-negara ini (anggota BRICS) bahawa mereka tidak akan mencipta mata wang baharu mahupun menyokong mana-mana mata wang lain bagi menggantikan dolar AS,” tulisnya.
Presiden Russia, Vladimir Putin berkata semasa sidang kemuncak BRICS 2023 di Johannesburg bahawa negara-negara anggota harus bekerjasama rapat dalam mengatasi halangan bagi mewujudkan mata wang bersama untuk mencabar dolar AS dan Euro.
Pada sidang kemuncak negara BRICS 2024 di Russia bulan lalu, ahli-ahli baharu blok tersebut, Arab Saudi, UAE, Mesir, Iran dan Ethiopia turut hadir tetapi tiada perbincangan secara jelas tentang mewujudkan mata wang baharu.
Lewat Jumaat lalu, Trump berikrar akan mengenakan tarif import 25 peratus ke atas semua produk dari Kanada dan Mexico melainkan kedua-dua negara itu meningkatkan usaha untuk menghentikan penyeludupan dadah seperti fentanyl dan pendatang tanpa izin ke AS.
Dalam minggu ini, Trump juga mengeluarkan ancaman bahawa China akan menghadapi kenaikan tarif sebanyak 10 peratus sehingga ia menghentikan aliran bahan kimia prekursor yang digunakan dalam pembuatan fentanyl. – AGENSI