fbpx

Teraniaya atau Vida sendiri tersilap langkah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALAULAH benar di pihak yang benar, Vida harus berjuang membuktikan perkara itu di mahkamah bukan setakat berteriak dalam gelanggang Tiktok atau platform media sosial.

KATA orang, besar periuk, besarlah keraknya. Dari satu perspektif peribahasa tersebut barangkali sesuai memberi gambaran terhadap situasi yang berlaku kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida atau nama lengkapnya, Hasmiza Othman, 53.

Tidak berada di posisi untuk mencampuri urusan mahkamah, namun apa yang menjadi perbualan ramai sedari awal minggu ini sepatutnya memberi kesedaran buat Vida terutama apa yang dinukilkan pada perenggan pertama.

Khalayak maklum, Vida gemarkan kehidupan penuh perhatian. Dia menjalankan perniagaan dan seronok dengan segala konten pengisi media. Dia juga ‘teringin’ menjadi penyanyi sehingga terlahirlah beberapa karya viral seperti I Am Me dan Lavida Raya.

Sekiranya Vida tidak ‘menempel’ dalam industri seperti sekarang, barangkali perhatian buatnya mungkin tidak akan semaksimum ini.
Vida dalam satu kenyataan dalam media sosial bermati-matian mengatakan bahawa apa yang berlaku kepadanya sekarang adalah satu bentuk penganiayaan.

Entahlah, kalau sudah sampai bab sita-menyita ini rasanya memang atas lunas undang-undang. Kalau setakat ‘kencang’ dalam media sosial seperti TikTok, namun di mahkamah tiada hitam putih atau bukti, tidak berguna juga.

Penganiayaan

“Ini penganiayaan, insya-Allah kebenaran akan terbukti,” kata Vida.
Vida menambah apa yang berlaku terhadap dirinya ketika ini adalah satu ujian daripada Allah untuk dia sekeluarga.

“Pasal kisah viral dan ‘sita-sita’ ini saya anggap sebagai ujian walaupun benda ini aib, saya yakin dengan ujian ini.

“Ada hikmah besar dan kekayaan lebih besar dan anugerah yang besar Allah nak beri Subahanallah,” katanya.

Rasanya, kalau benar Vida di pihak yang benar, buktikan di mahkamah bukan di gelanggang TikTok atau platform media sosial. Melainkan andai bercakap dalam media sosial membuatkan Vida seronok dan berasa seperti bintang paling menyerlah di alam semesta.

Vida menerusi balasan WhatsApp kepada Pose mempertahankan diri dengan berkata: “Projek bayar dulu, bukan buat dulu baru claim. Kontraktor enjoy makan duit dulu, kerja tak siap.”

Mahkamah

Kalau benar seperti dikata, buktikan menggunakan lunas undang-undang yang sewajar, bukannya ‘pum pang pum pang’ dalam media sosial.

Vida didakwa gagal menjelaskan bayaran tunggakan kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 sejak 2018. Ini bukan dakwaan atau tuduhan sembarangan.
Empat kereta mewah antara barangan miliknya yang disita di kediamannya di Meru, Ipoh setelah gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilang miliknya.

Memetik laporan kebanyakan media, perintah penyitaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn. Bhd.

Mustahil mahkamah salah dalam urusan timbang tara melainkan Vida sendiri tersilap langkah atau sebaliknya. Tepuk dada, tanyalah selera dan semoga segala urusannya kelak ditunjukkan cahaya di hujung terowong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI