KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua masjid dan surau di negeri Pahang melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Baginda secara khususnya bertitah agar solat hajat dapat dilakukan di setiap masjid dan surau selepas solat Jumaat dan selepas solat maghrib pada setiap hari.
Titah baginda, solat hajat itu diadakan bagi sama-sama mendoakan agar dihindarkan banjir, bala bencana dan supaya Allah mengangkat semua musibah dan sesiapa yang diuji dengan banjir, diberikan keselamatan dan kesabaran.
Pada masa sama Baginda turut berdoa agar semua yang terlibat dengan banjir besar seperti di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda.
Doa sama turut dipanjatkan kepada Allah agar negeri Pahang turut dilindungi daripada sebarang bencana dan berada dalam keadaan selamat sejahtera.
Dalam pada itu baginda meminta agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati pada musim banjir ini dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga masing-masing selain menghindari kawasan berisiko seperti sungai dan laut bagi mengelak sebarang tragedi
“Ibu bapa dan penjaga diingatkan agar sentiasa memantau dan menasihatkan anak-anak supaya tidak bermain di tepi sungai atau longkang berhampiran kerana berisiko berlakunya perkara yang tidak diingini,”titah baginda. – KOSMO! ONLINE